Thursday 17 January 2013

Hasan Ali Beri 3 Syarat Matikan Isu Kalimah Allah.


alt

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengemukakan tiga syarat sebelum isu penggunaan kalimah ALLAH boleh dimatikan.

Antara syarat ditetapkan Hasan ialah mereka yang mengusulkan agar kalimah ALLAH diizin pakai dalam Bible versi bahasa Melayu mesti bersedia mematuhi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen-enakmen Negeri yang telah dikeluarkan berhubung isu itu.

Beliau turut menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang menimbulkan semula isu tersebut supaya menarik balik gesaan beliau dan memohon maaf secara terbuka.

"Ternyata gesaan beliau itu telah menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara kita," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Syarat ketiga menurut Hasan adalah semua pihak perlu menghormati keputusan Majlis Syura Pas dan Majlis Fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini di peringkat Persekutuan dan Negeri mengenai penggunaan kalimah ALLAH.

"Saya menganggap selagi ketiga-tiga perkara di atas tidak dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran selagi itulah isu ini dan lain-lain isu yang berkaitan dengan agama khususnya Islam akan dijadikan modal politik yang akan terus dipolemikkan," tegasnya.

Dalam pada itu, Hasan turut menempelak PKR dan DAP yang sehingga kini belum mengeluarkan kenyataan rasmi atau respons berhubung keputusan dibuat Majlis Syura Pas.


"Sekiranya pemimpin-pemimpin DAP dan PKR tersebut mendiamkan diri maka tidak salah bagi rakyat membuat anggapan bahawa sikap sedemikianlah yang akan terus diambil oleh mereka dalam hal-hal seperti ini sekiranya mereka berjaya ke Putrajaya seperti yang diigau-igaukan itu," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengigatkan semua pihak menghentikan polemik isu kalimah Allah dan mematuhi peraturan dan menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu berkenaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke 82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang lalu telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Keputusan tersebut turut mewajibkan setiap umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan menyekat sebarang unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut. Tindakan perundangan yang diambil merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.
 

KLIK DI SINI



No comments:

Post a Comment