Saturday 5 January 2013

Rosmah Serah Bantuan Mangsa Banjir di Kelantan


alt
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor hari ini meluangkan masa menyampaikan sumbangan serta melawat mangsa banjir di sini.
 
Beliau yang juga merupakan isteri Perdana Menteri itu disambut dengan kehadiran kira-kira 800 orang penduduk di sekitar Kampung Siram Meranti.
 
Rosmah telah menyampaikan sumbangan bekalan makanan dan wang tunai sebanyak RM500 kepada 100 orang mangsa yang terlibat dalam bencana banjir. 
 
Sebelum itu, beliau telah diberi taklimat oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Cawangan Pasir Mas, Mohd. Fadly Mohd. Fauzi mengenai keadaan di kawasan yang dilanda banjir di negeri itu.
 
Pada majlis yang sama, Rosmah turut meluangkan masa melawat ke rumah bekas Imam Tua Masjid Kampung Siram, Hj. Sulaiman Hj. Ngah dan menyampaikan sumbangan bekalan makanan serta sumbangan RM500 kepada warga emas itu.

alt

Pada lawatannya sebelum ini, Rosmah menyertai gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Taman Desa Damai, Kampung Gong Badak Kuala Terengganu sebelum ke Kota Bharu.
 
Di Terengganu, Rosmah telah menyertai aktiviti gotong-royong bersama 500 sukarelawan beberapa badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan membersihkan kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
 
Ketibaan Rosmah pada pukul 11 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Ketua Penolong Setiausaha MKN Terengganu, Mohd Sarif Hasan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.
 
Pada majlis itu Rosmah turut menyampaikan wang ihsan RM500 daripada MKN kepada 77 keluarga yang terjejas.
 
Rata-rata penduduk kampung terharu dan berbangga kerana isteri Perdana Menteri itu sanggup untuk turun padang melawat serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah.
 
Keadaan banjir di dua negeri di Pantai Timur semakin pulih dengan jumlah mangsa keseluruhan di Terengganu dan Kelantan seramai 3,171 orang.








No comments:

Post a Comment